Asal Usul Konflik Rohingya


Rohingya adalah etnik muslim yang mendiami kawasan utara Arakan (kini Rakhine) di barat laut Burma (kini Myanmar), mereka bertutur bahasa Rohingya (dari keluarga bahasa Bengal-Assam) dan merupakan minoriti di Arakan (namun majoriti di kawasan sempadan Bangladesh).
Sebahagian pengkaji dan Rohingya sendiri menyatakan mereka adalah asal pribumi Arakan dan sebahagian pengkaji lain mendakwa mereka pendatang dari Bangladesh (ini kerana ramai penduduk dari Bangladesh lari ke Arakan dalam beberapa konflik, namun asal atau pendatang bukanlah alasan untuk menzalimi dan mencetuskan krisis kemanusiaan kepada mereka).
Muslim sampai ke Arakan sejak kurun kelima belas lagi. Kemudian Arakan dijajah Burma, hanya kemudiannya Arakan dijajah pula oleh British. British membawa masuk ramai penduduk dari India ke Arakan (seperti negara kita). Bibit pertelingkahan etnik sudah berputik pada zaman ini antara etnik Rakhine dan muslim. Apabila tercetus perang dunia kedua, Arakan dikuasai Jepun, etnik Rakhine menyokong Jepun manakala Rohingya dilatih British untuk membantu mereka melambatkan kemaraan Jepun.
Kemudian selepas perang, Myanmar merdeka pada 1948 dan muslim Arakan melancarkan usaha untuk menggabungkan Arakan dengan Pakistan namun gagal lalu diteruskan dengan usaha membentuk pemerintahan autonomi. Kerajaan melawan perjuangan ini menyebabkan ramai lari ke Bangladesh, terutamanya selepas coup d'etat tentera pada 1962. Pada 1971 tercetus perang kemerdekaan Bangladesh dari pakistan, ramai lari ke Arakan. Burma melancarkan operasi tentera 1978 untuk menghalau keluar mereka ke Bangladesh dan mengukuhkan kawalan sempadan yang longgar sejak zaman British.
Apabila UN campurtangan isu pelarian ini, mereka bersetuju menerima kembali pelarian namun pada 1982, kerajaan Myanmar memperkenalkan undang-undang kewarganegaraan dan tidak mengiktiraf Rohingya sebagai warga Myanmar serta menekan mereka seperti: tiada pendidikan, pergerakan, tidak diiktiraf, masalah perkahwinan dan larangan mempunyai lebih dua anak.
Pada 2012 tercetus rusuhan di Arakan antara Rakhine dan Rohingya menyebabkan nama Rohingya dikenali kembali di seluruh dunia. Ratusan terkorban, dan ribuan menjadi pelarian (lebih 100,000 tinggal di kem pelarian tanpa bantuan mencukupi) kebanyakannya etnik muslim Rohingya. Pada 2014 kerajaan mengharamkan istilah Rohingya dan mengisytiharkan mereka 'Benggali'.
Pada 2015 nama Rohingya meniti di laman akhbar apabila mereka lari ke negara jiran. Menurut laporan, seramai 25,000 lari dengan bot sepanjang jan-mac sahaja. Penerimaan serantau bercampur-campur ada yang simpati ada yang menolak untuk membantu. Kerajaan serantau sendiri menolak mereka sebelum bersetuju bekerjasama membantu selepas perbincangan antara negara. Walau apapun alasan pihak yang menolak, jika anda tidak benar-benar terdesak, rasanya tiada yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan bot di tengah lautan.
Kini rohingya di myanmar dijangka sekitar 7-800,000 orang dan sejuta lagi di luar negara, 400,000 di Arab Saudi (yang orang kata wahabi dan asyik bunuh ahli sunnah je kejenya tu), 3-500,000 di Bangladesh, 200,000 di Pakistan, 100,000 di Thailand dan 40,000 di Malaysia (data anggaran wallahualam).
-Artikel lama tahun lepas. Terbaru krisis tercetus kembali apabila pihak tentera melancarkan operasi di utara Rakhine selepas serangan berlaku di 3 pos sempadan 9 oktober lalu, menyebabkan ratusan lari ke sempadan dan setakat ini 30,000 kehilangan tempat tinggal menurut UN. HRW menyatakan setakat ini 1,250 buah rumah direkodkan telah musnah dan imej satelit menunjukkan bukti 5 buah kampung diserang dan lebih 800 rumah dimusnahkan. via: FB Masjid AsSiddiqin Panchor
[full_width]
Asal Usul Konflik Rohingya Asal Usul Konflik Rohingya Reviewed by Unknown on 11:39 AM Rating: 5

No comments:

SuriHatiMrPilot Copyright@2016. Powered by Blogger.